___________________________________________
Sastera Siber Sebagai Wadah Alternatif
Oleh MOHD. DAHRI ZAKARIA
Sastera siber mula mendapat tempat oleh kebanyakan pengguna dan juga peminat sastera sebagai medan alternatif untuk meneruskan kesinambungan karya mereka menemui khalayak. Sebagai antara pilihan terbaik, ia secara tidak langsung bergerak sesuai dengan perkembangan semasa dalam dunia teknologi maklumat, yang memungkinkan semua manusia berada dalam satu ‘kampung’.
Terdapat beberapa laman utama yang menyediakan ruang untuk peminat dan juga kelompok penulis, teruatamanya generasi baru untuk berkarya. Antaranya ialah laman Pustakamaya.net, Melayu.com, Karyanet.com.my, arahkiri.cjb.net, idealis-mahasiswa.net, www.esastera.com, dan beberapa lagi. Namun, antara yang ramai itu, yang agak menonjol ialah laman www.esastera.com.
Istimewanya laman ini apabila ia merupakan satu-satunya laman siber yang memuatkan sepenuhnya hasil-hasil karya sastera dalam pelbagai genre oleh kebanyakan pengunjungnya. Malah ia juga dikenali sebagai majalah sastera elektronik. Komitmen pengendalinya inilah yang menjadikannya antara laman yang menarik untuk dikunjungi dan seterusnya berkarya di situ.
www.esastera.com (selepas ini disebut e-sastera) mula dilancarkan pada 23 Disember 2002 bertempat di Kolej Kediaman Kedua, Universiti Malaya bersempena dengan majlis yang dinamakan sebagai ‘Gathering Raya Penyair Alam Siber’. Sempena majlis itu, sekalian penghuni dan pengkarya dilaman berkenaan berhimpun untuk pertama kalinya di alam nyata setelah sekian lama berhimpun di alam maya. Setahun sebelumnya laman ini lebih dikenali sebagai www.comunityzero.com/penyair.
Menurut pengasasnya, Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas, sewaktu pelancaran e-sastera fasa 2, begitu menyuguhkan tentang komitmen penganjur untuk menjadikan laman itu sebagai satu ‘platform’ dalam usaha untuk menghasilkan karya-karya sastera yang bermutu dekad ini.
Sehingga kini, terdapat beberapa ruangan khusus yang menghidangkan karya-karya penghuninya. Antaranya, ‘Penyair’ yang memuatkan karya-karya ahli berbentuk sajak, ‘Sajen’ untuk sajak jenaka, ‘Haiku’, iaitu antara bentuk puisi Jepun yang terkenal yang ditulis dalam Bahasa Melayu, ‘Resensi’ yang memuatkan ulasan atau kritikan terhadap karya-karya yang sedia ada dipasaran terbuka, ‘Cerpenis’ yang menghimpunkan cerpen-cerpen, ‘Berita dan Bicara Sastera’ yang menghimpunkan maklumat dan juga laporan tentang kegiatan-kegiatan sastera yang berlangsung di dalam negara, ‘Novel’ yang memuatkan novel bersiri yang ditulis oleh ahli-ahli tetap secara bergilir untuk meneruskan sinambungan cerita, ‘Poets’ yang memuatkan puisi-puisi dalam bahasa inggeris, ‘Profil’ yang memuatkan biodata-biodata ahli laman berkenaan, ‘Madah dan Pantun’ dan beberapa pilihan genre lagi. Kepelbagaian pilihan yang ada ini memungkinkan pengunjung dapat berkarya secara bebas dan terbuka menjadikannya antara yang menarik untuk dikunjungi.
Laman ini merupakan tempat berhimpun ramai penulis, termasuk yang muda dan mapan. Di sinilah anda akan ditemukan dengan pelbagai nama seperti Drirwan, Arisel BA, Sri Diah, Abdul Latip, Zainal Lasim, Razali Endun, Hashimah Harun, Gravedigger, Ida Munira, Al-Maghfirah, Alaieffa, Jimadie, Wan Azman, Erwin Khairul, Anbakri, Ana Suraya, MdZainuddin, Damahum, Rudy Bluehikari, dan Nimoiz TY. Atau yang termuda kini seperti Fard Razy, Mankie, Adie7, dan ramai lagi. Malah, di sini juga kita akan bertemu dengan kelompok penulis dari pelbagai pelusuk dunia. Ada yang datang dari Indonesia, Mesir, Jepun, Amerika Syarikat dan pelbagai lagi. Mereka inilah antara pengunjung setia serta penyumbang tetap di laman berkenaan.
Istimewanya di sini, setiap karya mempunyai peluang untuk ‘dibedah’ secara langsung. Ini kerana, diruangan-ruangan yang disebutkan di atas, turut memuatkan ulasan-usalan serta kritiakn yang dibuat oleh penghuni lain. Ini menjadikan penulis karya itu dapat mengetahui maklum balas pembaca dengan cepat dari pelbagai sudut terutamanya untuk menilai kelemahan dan keduatan sesebuah karya mereka.
Malah sebelum itu juga turut diperkenalkan sistem ‘mentor’ antara penulis mapan dan baru. Karya-karya penulis baru, terutamanya sajak di e-mail terlebih dahulu kepada ‘mentor’ yang dilantik untuk dinilai atau diberi ulasan sebelum dimuatkan ke dalam laman berkenaan. Ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan secara tidak langsung dapat bertukar-tukar pendapat antara keduanya.
Karya-karya juga dapat disiarkan secara bebas dan terbuka. Bermutu atau tidak, itu soal kedua. Tetapi bila sudah berkarya di situ, karya-karya anda akan dinilai dengan segera, dan tidak dapat tidak, anda akan memilih karya-karya yang terbaik sahaja untuk tujuan siaran di situ. Sungguhpun begitu, pengendali sendiri tetap menetapkan syarat, seperti karya-karya yang menyentuh moral, peribadi, atau apa-apa saja yang boleh menimbulkan keaiban orang lain, awal-awal lagi karya seperti ini ditolak. Seperti juga dimana-mana laman atau tempat di dunia ini.
Sehingga kini, laman berkenaan telah berjaya menganjurkan satu program yang dinamakan sebagai Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) pada tahun lepas. Melalui anugerah berkenaan, sajak-sajak ahli yang tersiar dilaman berkenaan sepanjang tahun 2002 telah dinilai untuk menerima anugerah berkenaan melalui satu majlis yang telah diadakan yang dinamakan Hadiah eSastera.com (HeS.Com) 2003 yang menawarkan hadiah utama bernilai RM2003, sijil dan cenderamata. Sajak Jenaka (Sajen) juga turut dinilai untuk menerima Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS) yang menawarkan hadiah sebanyak RM1000.
Melalui anugerah itu juga, beberapa naskhah buku turut telah diterbit iaitu APAS (sebuah antologi puisi pilihan komuniti ‘penyair’ alam siber). Sajak-sajak yang termuat di dalam antologi berkenaan merupakan sajak pilihan yang turut dinilai untuk Hadiah Esastera.com (HeS.Com) 2003.
Dua buah lagi ialah SAJEN yang merupakan antologi sajak jenaka pilihan komuniti ‘penyair’ alam siber untuk Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS) 2003 dan Kursus Kepenyairan E-Sastera. Ketiga-tiga naskhah berkenaan diselenggarakan oleh Irwan Abu Bakar dan Hashimah Harun dan diterbitkan oleh kAPAS Publication.
Manakala untuk tahun hadapan pula terdapat beberapa penambahan hadiah lain turut ditawarkan dalam HeS.Com 2004 seperti Anugerah Cerpenis Alam Siber (ASCAS), Anugerah Haiku Alam Siber (HAIJIN) dan beberapa lagi.
Selain daripada itu, beberapa sayembara lain turut diadakan sepanjang tahun. Ia juga turut dikenali sebagai ‘Sayembara Di Talian’ yang diadakan bersempena dengan sesuatu peristiwa seperti Sayembara Puisi Perang, Sayembara Puisi Hari Bapa, Sayembara Puisi Hari Keluarga, Sayembara Puisi Hari Guru, dan Sayembara Puisi Maulidur Rasul yang menawarkan tiga hadiah utama bernilai RM100.
Beberapa hadiah tidak berkala juga turut ada seperti penyumbang sajak terbanyak untuk tahun berkenaan, sajak keseribu, deklamator terbaik (dinilai dalam dua pertemuan sebelum ini), pengulas prolifik dan beberapa lagi.
Dan terbaru sempena pelancaran e-sastera fasa 2, penganjur telah mula menawarkan hadiah Anugerah Sasterawan Alam Siber (ASWAS) yang merupakan projek terbesar laman berkenaan.
ASWAS yang pertama akan mula dikeluarkan pada tahun 2006 dengan menjadikan karya-karya yang tersiar dilaman berkenaan sepanjang tahun 2002 hingga 2005 sebagai penilaian. Dan khabarnya, hadiah yang ditawarkan mencecah ke angka RM100,000!
Ini jelas menunjukkan bahawa sastera siber sudah mampu untuk pergi jauh ke depan meninggalkan tanggapan yang sedia ada. Tidak dapat tidak, dunia sastera siber mula mendapat tempat dan mampu duduk sebaris dengan dunia sastera arus perdana. Penulis-penulis baru sudah boleh berkarya dengan bebas tanpa menunggu peluang dari arus perdana tiba.
(Artikel ini telah tersiar dalam Akhbar Mahasiswa, Februari 2004)
____________________________________________
E-SASTERA DI MALAYSIA: CABARAN DAN MASA DEPAN
Oleh:
Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas
Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universit Malaya, Kuala Lumpur
1.0 PENGENALAN
Bentuk karya sastera yang diamalkan khalayak banyak bergantung kepada medium komunikasi manusia pada masa yang berkenaan. Misalnya, pada masa manusia berkomunikasi secara lisan, menyebarkan maklumat dan ilmu dari mulut ke mulut, karya sastera berkembang secara yang sepadan, dihafaz dan kerap kali disampaikan semula dengan ditambah perisa individu atau tempatan. Kandungan karya dan pengarangnya tidak dipentingkan sangat sehinggakan banyak karya popular mempunyai versi yang berlainan di tempat yang berlainan serta ada pula karya yang tidak diketahui siapa pengarang asalnya.
Gaya manusia berkomunikasi banyak berubah apabila tulisan dan kemudiannya pembangunan teknologi percetakan, menjadi popular. Ciri karya sastera masyarakat berubah secara sepadan. Karya sastera menjadi semakin definitif kandungannya. Hak milik karya yang pada mulanya tidak dipentingkan telah beransur-ansur menjadi perkara yang amat dititikberatkan sehingga akhirnya timbul pula konsep hak milik atau copyright terhadap karya sastera. Tradisi berkarya secara sedemikian berterusan untuk jangka masa yang sangat lama kerana cara manusia berkomunikasi dengan menggunakan tulisan dan mesin cetak tidak berubah untuk sekian lama.
Pada tahun 1975, komputer peribadi (PC) mula dipasarkan. Namun sistem komunikasi manusia tetap sama, dengan PC hanya memudahkan kerja menulis dan mencetak.
Sekitar tahun 1962, para saintis memulakan usaha ke arah pembangunan sistem komunikasi internet sehingga berjaya memperkenalkan sistem internet modern sekitar1985. Melalui sistem komunikasi modern ini, menularlah kaedah berkomunikasi yang baru. Akhirnya, terbentuklah wadah komunikasi yang dinamai "alam siber". Seiring dengan perkembangan ini, dunia sastera berkembang melalui medium komunikasi yang baru itu, mewujudkan dunia sastera baru yang dinamai cyber-literature (sastera siber) atau e-literature (e-sastera), dengan ciri-cirinya yang tersendiri.
2.0 E-SASTERA DI MALAYSIA
Malaysia bertuah kerana dapat bersama-sama negara maju untuk membangunkan sistem internet dan menyebarluaskan penggunaannya dengan agak cepat. Hasil daripada itu, kegiatan sastera dapat menumpang perkembangan tersebut. Antara pemain paling berkesan ialah eSastera yang melakanakan kegiatan-kegiatan yang berikut:
E-majalah eSastera.com dibangunkan pada awal tahun 2002.
Pengenalan genre sajak jenaka (sajen) atau comic poems ke dalam eSastera.com.
Tahun 2003, Hadiah eSastera.com (Hescom) pertama dikeluarkan.
Pada tahun 2006, anugerah Sasterawan Alam Siber pertama dikeluarkan.
E-novel Hostel: Debaran Kedua diterbitkan secara cetakan konvensional pada tahun 2004 setelah ditulis bersama di internet oleh 12 orang penulis selama 13 bulan. (Irwan Abu Bakar, 2004). Kemudiannya, novel Cinta Berbalas Di Meja 17 diterbitkan pada tahun 2009 setelah empat tahun disiarkan secara beransur-ansur di internet.
Templat blog eSasterawan.net dibangunkan pada tahun 2005. Templat blog berbahsa Melayu ini unik kerana direkabentukkan khas untuk penulis.
Majalah Sastera.Net mula diterbitkan pada tahun 2006.
TV Internet khas (TVsastera.com) untuk sastera dibagunkan pada tahun 2007. Kemunculan YouTube banyak membantu dalam perkembangan medium web-tv ini.
Laman web pantun berbasa Inggeris www.pantun.com.my atau (www.pantun.my) dibangunkan pada tahun 2006. Laman ini beroperasi melalui kerjasama dengan laman puisi di USA, poesysite.com. Penerbitan buku panduan untuk penulis aktif berkarya di internet: Berkarya Di Alam Siber (Esastera Enterprise, 2008).
3.0 CABARAN
Perlu dikembangkan laman awam yang dikawal, berbanding laman peribadi (termasuk blog) yang boleh dipinda mahupun dipadam isi kandungannya oleh penulis sendiri pada bila-bila masa.
Penulis memerlukan pengiktirafan. Sudah dicadangkan supaya anugerah seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia mengambil kira karya yang disiarkan di alam siber (Irwan, 2006; Aziz, 2009).
Inernet bukan semata-mata wadah penerbitan tambahan bagi karya sastera sebaliknya telah mewujudkan dunia penyiaran baru yang berbeza sama sekali dengan dunia penyiaran yang lazim, dengan karya bukan sahaja ditulis tetapi dikomposisi dengan penggunaan pelbagai peralatan modern seperti perisian flash dan rakaman video (Irwan, 2009). Khalayak perlu difahamkan tentang hal ini.
Kegiatan sastera wajar digunakan untuk membantu perkembangan teknologi ICT di dalam masyarakat. (Wan Abu Bakar, 2007).
Usaha menggerakkan penggiat-penggiat e-sastera pada peringkat luar talian perlu dilakukan secara berterusan. Misalnya, eSastera.com sedang berusaha menubuhkan sebuah badan yang dinamai Persatuan E-Sastera Malaysia.
Dunia internet ialah dunia tanpa sempadan. Hal ini menjadi cabaran kepada penggiat-penggiat e-sastera, bagaimana kelebihan medium internet itu dapat dimanfaatkan untuk memerkasakan bahasa dan sastera Melayu.
4.0 MASA DEPAN
Medan penyiaran alam siber akan menjadi medan utama penyiaran karya sastera.
Karya sastera bentuk baru dengan pelbagai unsur bukan teks akan lebih digemari. Dalam konteks ini, wajar disebutkan bahawa penulis sendiri pernah diundang untuk berbicara tentang sastera siber di TV3 (Selamat Pagi Malaysia) dan TV9 (Nasi Lemak Kopi O). Peluang seperti ini jarang diberikan kepada penggiat sastera konvensional.
Tradisi berkarya juga akan berubah ke bentuk baru. Misalnya, interaksi antara penulis dengan pembaca dan antara pembaca sesama pembaca akan menjadi ketagihan baru dalam dunia penulisan.
Apresiasi karya juga akan mengambil dimensi baru. Misalnya, e-novel diapresiasi sedang novel itu ditulis, malah diberikan input yang aktif oleh pembaca sendiri.
Teori sastera siber akan diwujudkan, misalnya pendefinisian semula makna estetik pada puisi. (Azmi, 200009)
Akan wujud bahasa Melayu global melalui kegiatan sastera di internet. Pembangunan komuniti “e-sastra Indonesia” di eSastera.com ialah langkah kecil ke arah objektif ini.
Karya sastera Melayu akan diterjemahkan dan disebarluaskan di internet. Malah genre sastera Melayu yang unik seperti pantun akan disebarkan dalam bahasa asing, misalnya penulisan pantun dalam bahasa Inggeris.
Muzikalisasi karya sastera akan berkembang dengan meluas. Hal ini telah bermula dengan lagu puisi. Perkembangan seperti ini akan berlaku dengan pantas di internet atas keperluan mempelbagikan kaedah pesembahan karya di alam siber. Untuk makluman, eSastera.com sendiri mempunyai komuniti “Lagu Puisi” demi memenuhi permintaan peminat-peminat sastera sendiri.
Ebuku akan menjdai lebih popular, terutama kerana kos penerbitannya yang rendah.
Kegiatan penulisan akan menjadi lebih aktif kerana karya boleh disiarkan dan karya baru boleh dibaca secara 24/7.
Lebih ramai profesional “bukan sastera” yang melibatkan diri dengan dunia penulisan kreatif.
5.0 SELEPAS SASTERA SIBER
Perkembangan sistem pesanan ringkas (sms) sebagai medium komunikasi baru dan modern tidak dapat dinafikan. Khalayak telah mula memanfaatkan medium ini sebagai cara bersastera, mulanya dengan mem-forward pantun, kemudiannya cerpen.
Sastera sms membawa tradisi baru dalam berkarya, malah membawa kita kembali ke zaman dahulu apabila karya disebarkan secara bebas dan meluas, dengan siapa pengarangnya tidak lagi dipentingkan. (Irwan, 2006). Di Jepan, pada hari ini, sudah ada sayembara menulis novel sms.
ESastera.com memberikan respons dengan membangunkan laman web sasteraSMS.com untuk “memerangkap” karya-karya yang tersebar di alam sms itu ke alam siber. Majalah sasteraSMS.com juga menerima sumbangan karya melalui sms. Sayangnya majalah itu tidak berapa aktif sekarang. Sebab utamanya ialah kegagalan kami mendapatkan dana untuk membangunkan sistem yang boleh menerima dan terus menyiarkan karya melalui sms tanpa melalui telefon bimbit editor majalah itu. Insya-Allah, kami akan cuba menggerakan semula projek ini dalam masa yang terdekat kerana kami difahami bahawa teknologi itu kini tidak begitu mahal harganya.
Namun perlu diperhatikan bahawa kewujudan majalah siber yang menerima karya melaui sms bukan lagi perkara yang terlalu penting pada hari ini kerana memang lalman-laman web kini boleh diakses dengan menggunakan telefon bimbit. Perkembangan terbaru ini menjdikan majalah “sastera sms” di alam siber sebagai tidak lagi begitu relevan. Kami mahu mewujudkan majlah sms yang benar-benar sms, iatu tidak begantung kepada perngantara alam siber. Karya dihantar dan distor di alam sms dan dibaca atau disampaikan kepada pembaca melalui system sms semata-mata.
6.0 PENUTUP
Tradisi berkarya di internet telah bertapak dengan baik di Malaysia. Pada masa yang terdekat, alam siber akan menjadi wadah yang lebih penting dalam penyebaran sastera dan bahasa Melayu di dunia. Sastera sms akan muncul sebagai alternatif.
BIBLIOGRAFI
Aziz Zabidi (2009). E-Mel dan Anda, Berita Harian, 1 Oktober.
Azmi Rahman (2009). Dimensi Estetik Sajak Siber. Kertas kerja Seminar Kepengarangan Wanita Nusantara, Kuala Lumpur. 31 Mac-2 April.
Irwan Abu Bakar (2002). Penulisan menerusi alam siber tidak wajar diabaikan. Berita Minggu, 22 Disember.
Irwan Abu Bakar (2004). Masa Depan Sastea Anda Dalam e-Sastera. Dewan Sastera, November.
Irwan Abu Bakar (2006). Dari Blog Ke Slog: Selepas Sastera Siber, Sastera SMS? Sastera.Net, Edisi 1.
Wan Abu Bakar Wan Abas (2006). Ciri, Perkembangan, dan Penyiaran Karya Siber di Malaysia. Kertas kerja Akademi Sastera Siber (Akses), Kota Bharu, 25 Ogos.
Wan Abu Bakar Wan Abas (2007). Pembangunan Bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi Melalui Kegiatan Sastera di Internet, Seminar Bahasa dan Sastera sempena Sidang ke-12 Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Kuala Lumpur, 14 Mac.
Wan Abu Bakar Wan Abas (2009). E-Sastera: Bukan Sekadar Sebuah Wadah. Sastera.Net, Edisi 7.
*Kertas kerja yang dibentangkan di Kolokium Kebangsaan Sastera dan Media Baru di USM, Pulau Pinang pada 19 Oktober 2009
____________________________________________
APLIKASI KOMPUTER DALAM PENGAJARAN BAHASA: PENGUASAAN
GURU DAN KEKANGAN DALAM PELAKSANAAN
Yahya Othman, PhD, Roselan Baki, PhD
Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM, Serdang
Selangor
yahyaoth@gmail.com, roselanbaki@hotmail.com
ABSTRAK
Pengajaran bahasa dengan menggunakan komputer adalah antara kaedah pengajaran yang dianggap bersesuaian dengan keperluan pendidikan kini. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan kemahiran bahasa pelajar. Persoalannya ialah sejauh manakah guru Bahasa Melayu (BM) melaksanakan pengajaran menggunakan komputer dan tahap penguasaan guru serta kekangan yang dihadapi. Maka kajian secara tinjauan ini meneliti tahap dan kekangan dalam melaksanakan pengajaran bahasa menggunakan komputer. Di samping itu, kajian juga mengkaji kekangan yang mengganggu pelaksanaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran.
Sampel kajian terdiri daripada 87 guru BM di sekitar daerah Hulu Langat, Selangor. Dapatan kajian menunjukkan sampel kajian menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan computer dan kebanyakan mereka telah mengikuti kursus asas komputer. Kursus yang berkaitan penyediaan bahan pengajaran multimedia, penggunaan internet dan pembinaan laman web agak kurang diberikan perhatian. Kesan pengajaran BM menggunakan komputer kepada pelajar agak positif terutamanya kepada pelajar yang cerdas. Kekangan utama yang dihadapi oleh guru dalam menjalankan pengajaran BM berbantukan komputer ialah guru kurang mahir mengendalikan komputer untuk pengajaran dan pelajar kurang berminat dalam pembelajaran.
PENGENALAN
Dalam memperkatakan teknologi dalam pendidikan, Grove et al. (2004) menyatakan nilai teknologi di dalam bilik darjah telah menimbulkan isu dan perdebatan dalam kalangan ahli teknologi pendidikan. Teknologi telah dibuktikan dapat meningkatkan produktiviti, menambahkan motivasi, menyokong pengajaran secara tidak langsung, kebolehan pengajaran yang bersifat unik, dan meningkatkan literasi maklumat (Roblyer & Schwier, 2003). Justifikasi ini timbul di dalam iklim kritikan berasaskan pelaburan yang besar dalam teknologi yang diragui keberkesanannya (Cuban, 2001). Dalam hal ini, ahli teori telah meletakkan diri mereka sebagai penyokong kepada perspektif yang menjurus kepada efektifnya penggunaan teknologi.
Dalam hal ini, Ertmer (1999) dan Hokanson & Hooper (2004) telah mengkaji penggunaan secara efektif keperluan teknologi yang semakin bertambah dan ingin melihat cara guru menggunakan teknologi dan sebab mereka menggunakannya. Mereka juga memfokuskan peranan utama pendekatan pedagogi yang digunakan dalam pengajaran di bilik darjah.
Terdapat beberapa isu yang sering dikaitkan dalam pengajaran menggunakan komputer. Stallard (1998) dalam kajiannya menyatakan bahawa keadaan yang menjadikan pengajaran tersebut tidak berkesan ialah kurangnya persediaan guru untuk membangunkan pengajaran yang berbantukan komputer.
Di samping itu terdapat juga permasalahan dari segi hardware untuk perisian kursus, sikap guru, pentadbir, latihan, galakan keluarga dan pengaruh komuniti yang mempengaruhi keberkesana pelaksanaan dalam bilik darjah (Moersch, 1995).
Pengajaran Bahasa Malaysia (BM) tidak terkecuali daripada pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Walaupun pelajaran BM hanya melibatkan penguasaan kemahiran bahasa yang kelihatannya agak mudah untuk dikuasai, namun masih terdapat beberapa isu yang dianggap boleh mengganggu keberkesanan pengajaran . Masalah tersebut termasuklah penguasaan kemahiran asas BM seperti lisan, membaca dan menulis. Pada tahap yang lebih tinggi, masih terdapat pelajar yang tidak dapat memahami teks yang dibaca dengan sempurna.
Di samping itu, pada tahap sekolah menengah, penguasaan menulis juga masih lagi perlu diberi perhatian untuk memastikan objektif pengajaran BM tercapai.
Oleh hal yang demikian, penggunaan komputer dalam pengajaran BM dilihat sebagai satu usaha yang sesuai untuk memberikan impak terhadap permasalahan yang dihadapi. Sebagai alat bantu pengajaran yang terkini sifatnya, penggunaan komputer dilihat sebagai usaha yang mampu mengubah persepsi pelajar terhadap pembelajaran BM. Guru BM sebagai pengendali pengajaran, perlu mempunyai keterampilan dalam mengendalikan pengajaran bahasa berbantu komputer. Walaupun terdapat kesukaran dalam melaksanakannya, guru perlu bersedia dengan kemahiran dan pengetahuan selaras dengan keperluan pendidikan kini yang memerlukan pengajaran lebih berpusatkan pelajar.
Oleh itu, kajian ini cuba mengkaji pemahaman guru BM terhadap konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer, tahap penguasaan komputer, kursus yang dihadiri, masalah yang dihadapi dan penyelesaiannya.
Objektif kajian
1. Mengkaji sejauh manakah pemahaman guru BM terhadap konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer.
2. Mengkaji tahap penguasaan komputer dalam kalangan guru BM.
3. Mengkaji persepsi guru terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran BM.
4. Mengkaji masalah yang dihadapi oleh guru BM dalam mengaplikasikan computer dalam pengajaran.
Kaedah kajian
Kajian dilaksanakan secara deskriptif dengan menggunakan kaedah tinjauan. Sebanyak 87 guru BM dijadikan sampel kajian ini yang meliputi guru BM yang mengajar di beberapa buah sekolah di Selangor. Sampel kajian dipilih secara rawak. Soal selidik digunakan untuk mendapatkan data berkaitan penggunaan dan penguasaan komputer dalam pengajaran BM. Item dalam soal selidik meliputi pandangan terhadap pengajaran bahasa berbantukan komputer, latihan dan tahap penguasaan, pelaksanaan dan hubungannya dengan penguasaan bahasa pelajar, kekangan dalam pelaksanaan dan cara mengatasi masalah tersebut. Data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan SPSS dan dinyatakan dalam bentuk peratusan dan min.
DAPATAN KAJIAN
Konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer (PBBK)
Sebagai guru BM, mereka sepatutnya memahami konsep penggunaan komputer di dalam bilik darjah. Berdasarkan dapatan kajian, didapati sampel kajian menunjukkan pemahaman yang pelbagai terhadap konsep PBBK.
Pelajar mempelajari bahasa menggunakan komputer dengan
kehadiran guru bersama-sama 51.7
Pelajar mempelajari bahasa menggunakan komputer tanpa
kehadiran guru 18.4
Pelajar mempelajari aspek bahasa (contohnya, tatabahasa)
dengan menggunakan komputer 32.2
Pelajar menggunakan enjin pencari (seperti google) untuk mencari
fakta ketika menulis karangan 40.2
Pengajaran bahasa apabila guru menggunakan projektor LCD
sebagai alat bantu mengajar dalam sebahagian dari pengajarannya 39.1
Pelajar mempelajari cara menulis karangan atau surat dengan
menggunakan pemprosesan perkataan (microsoft word) 28.7
Pelajar mempelajari bahasa dengan menggunakan perisian
pembelajaran yang terdapat di dalam CD 44.8
Pelajar belajar bahasa melalui pembelajaran jarak jauh
menggunakan komputer. 17.2
Berdasarkan dapatan tersebut, didapati pemahaman sampel kajian terhadap PBBK adalah pelbagai. Kepelbagaian ini banyak dipengaruhi oleh faktor pendedahan, peluang dan komitmen yang ditunjukkan dalam pelaksanaan pengajaran. Kebanyakan sampel kajian menyatakan bahawa konsep PBBK adalah pelajar mempelajari bahasa menggunakan komputer dengan kehadiran guru bersama-sama (51.7%).
Pada dasarnya, PBBK dilaksanakan dengan pelajar berinteraksi dengan bahan yang tersedia di dalam komputer. Pelajar akan menggunakan bahan tersebut dengan bantuan guru. Bagi konsep yang kedua tertinggi dari segi peratus (44.8%) menyatakan pelajar mempelajari bahasa dengan menggunakan perisian pembelajaran yang terdapat di dalam CD. Pemilihan konsep ini dilihat signifikan apabila guru menggunakan CD pembelajaran yang terdapat di pasaran bagi membantunya mengajar. Pelajar dapat mempelajari bahasa dengan mengikuti bahan pembelajaran yang terdapat di dalam CD dan guru melakukan pemantauan pembelajaran.
Konsep ketiga yang menjadi pilihan guru (40.2%) ialah pelajar menggunakan enjin pencari (seperti google) untuk mencari fakta ketika menulis karangan. Hal ini bermakna, guru memikirkan PBBK perlu dikaitkan dengan penggunaan internet yang banyak memberikan maklumat kepada pelajar terutama ketika menguasai kemahiran bahasa seperti menulis karangan. Bagi pilihan keempat, sampel memilih konsep PBBK sebagai pengajaran bahasa yang menggunakan projektor LCD sebagai alat bantu mengajar (39.1%).
Bahan bantu mengajar jenis elektronik dikaitkan dengan PBBK kerana keperluannya dalam pengajaran tersebut. Selain penggunaan projektor LCD, penggunaan bahan bantu elektronik yang lain juga mampu meningkatkan minat dan pemahaman pelajar. Konsep yang dianggap kurang dipersetujui bagi pentafsiran PBBK ialah pelajar belajar bahasa melalui pembelajaran jarak jauh menggunakan komputer (17.2%). Ini kerana diandaikan sampel kajian tidak mengambil kira aspek pembelajaran jarak jauh sebagai menepati konsep PBBK kerana tiada guru yang dapat membimbing pelajar apabila wujud masalah pembelajaran.
Penggunaan komputer dalam pengajaran BM
Sampel kajian juga menyatakan pandangannya terhadap penggunaan komputer di dalam pengajaran BM. Dapatan kajian dinyatakan seperti jadual 2 di bawah.
Jadual 2: Penggunaan komputer dalam pengajaran BM
Saya pernah menggunakan komputer dalam
pengajaran BM 2.67 .944
Saya hanya mahir menggunakan powerpoint
dalam mengajarkan BM menggunakan komputer. 2.52 .829
Saya merasa selesa jika mengajarkan BM
dengan bantuan komputer. 2.66 .787
Saya mampu menggunakan internet dalam P&P 2.80 .818
Saya suka menggunakan bahan internet dalam
P&P BM. 2.81 .785
Saya berminat menggunakan komputer dalam
pengajaran BM. 3.26 .689
Saya berminat untuk mengajarkan BM
menggunakan komputer, tetapi saya tidak
mempunyai banyak masa untuk menyediakan
bahan pengajaran. 3.14 .770
Saya berminat untuk mempelajari kemahiran
menghasilkan bahan pembelajaran menggunakan
perisian mudah bagi BM. 3.18 .739
SP= sisihan piawai
Berdasarkan dapatan kajian, tahap penggunaan komputer dalam pengajaran bagi sampel kajian adalah rendah (min 2.67). Sampel kajian juga menyatakan mereka tidak selesa (min 2.66) jika mengajarkan bahasa dengan menggunakan komputer. Dari segi perisian pengajaran pula, mereka tidak bersetuju (min 2.52) jika dikatakan hanya menguasai penggunaan powerpoint dalam pengajaran. Ini disebabkan dari segi penguasaan perisian, sampel kajian menguasai 36% pada tahap baik dan 54 % pada tahap sederhana.
Manakala dari segi penggunaan internet, sampel kajian mengakui mereka kurang mampu (min 2.80) dan ini mengakibatkan mereka kurang menggunakan (min 2.81) bahan tersebut di dalam pengajaran. Mungkin terdapat faktor lain yang menjadikan mereka kurang menggunakan internet dengan masalah pendedahan dan kemudahan yang disediakan di sekolah.
Aspek minat mempengaruhi guru dalam pengajarannya. Dapatan menunjukkan kebanyakan sampel kajian berminat yang sederhana (min 3.14) untuk mengajarkan BM menggunakan komputer tetapi mereka tetapi mempunyai banyak masa untuk menyediakannya. Mereka juga
memiliki minat yang sederhana (min 3.18) untuk diberikan pendedahan berkaitan penghasilan bahan perisian komputer.
Kesan penggunaan komputer dalam pengajaran.
Kebanyakan sampel kajian setuju bahawa (min 4.10) penggunaan komputer dalam pengajaran BM terhad kepada kemahiran membaca sahaja. Manakala mereka berpendapat penggunaan komputer dalam mengajarkan karangan tidak begitu sesuai (min 3.18). Dalam hal ini, untuk mendapatkan kesan yang baik, guru perlu kreatif dalam pengajaran berbantukan komputer (min 3.48).
Dari segi kemahiran menggunakan perisian komputer yang berkaitan dengan pembelajaran, kebanyakan sampel kajian tidak menguasainya dengan baik. Contohnya dalam penguasaan authorware dan toolbook, mereka menyatakan tidak menguasainya dengan baik (min 3.25). Masalah ini juga wujud dalam hal menggunakan multimedia dalam pengajaran (min 3.5).
Bagi kebanyakan sampel kajian, mereka hanya akan menggunakan komputer apabila diminta berbuat demikian (min 3.68). Di samping itu, terdapat kecenderungan menggunakan komputer hanya untuk urusan berkaitan pengurusan (min 3.26).
Tahap penguasaan komputer
Kesemua sampel telah pernah mengikuti kursus berkaitan komputer. Berdasarkan dapatan (jadual 3), kesemua sampel kajian telah menerima latihan komputer terutama dalam kursus dalam perkhidmatan yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran ataupun Pejabat Pendidikan Daerah.
Jadual 3: Tahap Penguasaan Penggunaan Komputer
Jenis Min SP Tahap penguasaan
Baik Sederhana Lemah
Microsoft Word 2.72 .449 72.4 27.6 0
Microsoft Excel 2.31 .556 35.6 59.8 4.6
Microsoft Access 2.05 .513 16.1 73.6 10.3
Microsoft power point 2.26 .637 36.8 52.9 10.3
Multimedia 1.94 .490 9.2 75.9 14.9
Pembinaan Laman web 1.32 .560 4.6 23.0 72.4
Internet 2.18 2.19 27.6 64.4 8.0
Aplikasi komputer yang paling dikuasai oleh sampel kajian ialah Microsoft Word (min 2.72; tahap baik : 72.4%). Kemahiran lain yang dikuasai ialah Microsoft Excel (min 2.31; tahap baik: 35.6%), Microsoft power point (2.26; tahap baik: 36.8%), Internet (min 2.18; tahap baik: 27.6%), Microsoft Access (min 2.05; tahap baik: 2.05%). Bagi kemahiran multimedia ( min 1.94; tahap lemah: 49%) dan pembinaan laman web (min 1.32; tahap lemah: 56%) dianggap penguasaan yang lemah. Ini menggambarkan sampel kajian tidak menguasai aspek yang dianggap penting terutama yang berkaitan penyediaan bahan pengajaran yang memerlukan penggunaan elemen multimedia.
Pembinaan laman web yang dianggap kurang memberi manfaat kepada pengajaran dan pembelajaran juga perlu diberikan perhatian terutamanya bagi memastikan pelajar berfikiran lebih kreatif lagi.
Kesan aplikasi komputer terhadap pelajar
Dapatan kajian menunjukkan, penggunaan komputer dalam pengajaran dapat menambahkan minat pelajar terhadap BM (min 3.06). Walau bagaimanapun, mereka berpendapat pelajar yang pandai lebih berminat dalam pengajaran apabila guru menggunakan komputer di dalam pengajarannya (min 3.14). Bagi pelajar yang lemah, mereka kurang menunjukkan minat dalam pembelajaran bahasa walaupun guru menggunakan komputer min 2.74). Dapatan juga menunjukkan penguasaan menulis karangan kurang berkesan jika menggunakan komputer (min 2.79). Dalam hal ini, pembinaan dan penggunaan bahan pembelajaran perlu lebih menekankan aspek multimedia dan interaktif bagi memberikan kesan yang lebih kepada pelajar (min 3.00). Pelajar juga berminat jika menggunakan bahan internet di dalam pengajaran (min 3.19).
Kekangan dalam pelaksanaan pembelajaran bahasa berbantukan komputer
Dapatan menunjukkan terdapat beberapa kekangan yang dihadapi oleh guru dalam menggunakan komputer dalam pengajaran BM. Masih terdapat guru yang tidak mahir dalam mengendalikan pembelajaran berbantukan komputer disebabkan kurang latihan (min 3.62). Guru juga menghadapi masalah dalam pengajaran berbantukan komputer kerana banyak masa perlu diberikan dalam menyediakan bahan (min 3.98). Pelajar juga kurang berminat (min 3.26) menggunakan komputer dalam pengajaran BM. Komputer yang digunakan di sekolah sering rosak dan ketinggalan dari segi kapasiti dan teknologi (min 2.82).
Di samping itu, terdapat kekangan dari segi sistem selenggaraan komputer yang tidak cekap di sekolah (min 2.72). Masalah bilik komputer juga sering mengganggu kelancaran penggunaan komputer dalam pengajaran. Terdapat guru BM yang tidak dapat menggunakan bilik komputer kerana sering digunakan oleh kumpulan pelajar lain (min 2.86). Pengaruh rakan sejawat tidak mempengaruhi sampel kajian dalam pelaksanaan pengajaran berbantukan komputer. Minat mengajar menggunakan komputer tidak menurun apabila tidak ramai guru yang berbuat demikian (min 2.51). Pihak pentadbir sekolah bukan merupakan kekangan kepada pelaksanaan kerana mereka memberi galakan kepada guru agar mengunakan komputer dalam pengajaran (min 2.90).
Cadangan untuk mengatasi masalah
Terdapat beberapa cadangan yang diberikan oleh sampel kajian untuk mengatasi masalah dalam meningkatkan lagi penggunaan komputer dalam pengajaran BM (jadual 4).
Kebanyakannya bersetuju dengan cadangan untuk mengatasi masalah seperti mewujudkan jaringan (min 3.51), sediakan peruntukan (min 3.47), prasana yang cukup (min 3.46), kumpulan pembinaan bahan (3.45), dorongan (min 3.42) dan pendedahan (3.41).
Jadual 4: Cadangan untuk mengatasi masalah
Min
Wujudkan jaringan kerjasama antara panitia atau sekolah dalam
PPD. 3.51
Sediakan peruntukan yang sesuai untuk menyediakan teknologi
komputer terkini. 3.47
Wujudkan prasarana ICT yang sesuai untuk pembelajaran. 3.46
Perlu ada kumpulan pembinaan bahan yang mendapat dorongan
daripada pentadbir. 3.45
Memberikan lebih dorongan kepada pelajar agar meminati komputer. 3.42
Semua guru BM perlu diberikan pendedahan aplikasi komputer. 3.41
RUMUSAN
Isu-isu yang dibincangkan di atas kebanyakannya berfokus kepada pentingnya pengajaran berbantukan komputer dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran BM. Antara rumusan daripada dapatan kajian yang diperoleh seperti huraian berikut:
Guru perlu menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer agar pemahaman yang mantap terhadap konsep tersebut dapat memberi kesan kepada mutu pengajaran guru. Ini disebabkan terdapat pelbagai pemahaman terhadap konsep yang diberikan oleh guru BM. Tiga komponen utama yang perlu ada di dalam pengajaran bahasa berbantukan komputer iaitu komputer, bahasa dan pembelajaran (Finkbeiner, 2001). Guru pada peringkat awal perlu
memahami konsep dan prosedur pelaksanaan pengajaran menggunakan komputer agar memberikan kesan yang optimum kepada pelajar. penggunaan yang tidak menyeluruh dari segi keperluan perlu diberikan perhatian. Contohnya, penggunaan komputer dalam kemahiran menulis sepatutnya diberikan perhatian kerana penggunaan komputer mampu membantu pelajar dalam menyusun organisasi teks serta dapat memudahkan penyuntingan dilakukan. Bagi memastikan keberkesanan pengajaran, bahan bantu yang digunakan perlulah dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan (Yahya Othman, 2007).
Kursus komputer telah dihadiri oleh kebanyakan guru BM. Untuk menjamin keberkesanan penggunaan dalam pengajaran, kursus yang dihadiri perlu dikaitkan dengan pembinaan bahan pembelajaran. Perisian yang sesuai boleh digunakan untuk tujuan tersebut. Ini bersesuaian dengan dapatan kajian oleh Jeong-Bae Son (2006) yang menunjukkan penggunaan komputer dalam pengajaran terutama yang melibatkan kursus dalam talian mampu menarik perhatian pelajar.
Kesan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran BM juga didapati positif dengan kebanyakan sampel menyatakan demikian. Antaranya ialah penggunaan computer dapat memupuk minat yang mendalam terhadap penguasaan BM. Kajian yang dijalankan oleh Saad Al Kahtani (1999) menunjukkan penggunaan komputer dalam pengajaran menulis karangan dapat memberi kesan terhadap pencapaian pelajar.
Kekangan yang dihadapi oleh guru BM dalam melaksanakan pengajaran berbantukan computer meliputi aspek kursus peningkatan, pelajar yang pelbagai kecerdasan, teknologi komputer yang sering berubah, masa yang diperlukan untuk membuat persediaan pengajaran, dan sebagainya boleh memberi kesan terhadap pengajaran. Stallard (1998) pula menghuraikan faktor kebolehan guru dalam pengendalian komputer, penyediaan bahan pengajaran dan strategi yang sesuai digunakan merupakan kekangan yang sering dihadapi.
Dalam hal ini, perancangan dan persediaan pihak pentadbir sekolah dalam menyediakan guru-guru agar benar-benar menguasai kemahiran tersebut perlu dilakukan secara profesional. Masalah dalam penggunaan komputer perlu dihadapi dengan memberikan penekanan kepada penggunaan ICT dalam pengajaran sebagaimana yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran.
Sukatan pelajaran BM perlu dirujuk untuk melihat keperluan menggunakan komputer dalam pengajaran. Selain itu, penekanan pengajaran secara integrasi dalam mata pelajaran yang lain juga mampu untuk membantu pelajar mahir dalam sesuatu tajuk (Hokanson & Hooper, 2004).
Kesimpulannya, BM sedang mengalami zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap kepentingannya dalam pengajaran (A. Aziz Deraman, 2007). Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan kemahiran bahasa yang diajarkan. Penggunaan komputer dalam pengajaran BM berupaya meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai BM dengan lebih baik. Oleh itu, aspek latihan dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkan penggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai dengan keperluan semasa perlu diberikan perhatian.
RUJUKAN
A.Aziz Deraman (2007). Bahasa Melayu dan cabaran global. Dewan Bahasa, 7(2), 26-30. Cuban, L. (2001). Oversold and underused: Computers in the classroom. Cambridge, Mass.: Harvard University Press.
Ertmer, P. A. (1999). Addressing first- and second-order barriers to change: Strategies for technology integration. Educational Technology Research and Development, 47(4), 47-61.
Finkbeiner, C. (2001). One and all in CALL? Learner, moderator dan researcher. Computer Assisted Language Learning. 14 (3-4), 339-361
Grove, K., Strudler, N., & Odell, S. (2004). Mentoring toward technology use: Cooperating teacher practice in supporting student teachers. Journal Of Research on Technology in Education. 37(1), 85-110.
Hokanson, B., & Hooper, S. (2004). Integrating technology in classrooms: We have met the enemy and he is us. Paper presented at the annual convention of the Association for Educational Communications and Technology, Chicago, IL, October 19-23. (ERIC Document Reproduction Service No. ED485143)
Jeong-Bae Son (2006). Using online discussion groups in a CALL teacher training course. Regional Language Centre Journal. 37(1), 123-135
Moersch, C. (1995) . Levels of technology implementation (loti): A framework for measuring classroom technology use. Journal of Learning and Leading With Technology, 23(3). 40-42.
Roblyer, M. D., & Schwier, R. (2003). Integrating educational technology into teaching (Canadian ed). Toronto: Prentice Hall.
Saad Al Kahtani (1999). Electronic portfolios in ESL writing: An Alternative Approach. Computer Assisted Language Learning. 12 (3), 261–268
Yahya Othman (2007). Bahan bantu mengajar memperkukuh Bahasa Melayu. Dewan Bahasa,7(2), 32-35.